Saturday, May 14, 2011

Coretan Ringkas Sempena Hari Guru

Benarlah kata-kata guru-guru lain, menjadi guru bukan semudah yang dilihat dan disangka. Sesiapa yang tidak pernah merasa menjadi guru secara formal iaitu berada disekolah, tidak akan merasai "kemanisan" melayani para pelajar.

Kerjaya guru bukanlah pilihan kerjaya yang terakhir untuk saya. Kerjaya ini pilihan yang pertama. PERTAMA. Apabila kali pertama menjejakikan kaki ke sekolah sebagai guru ganti, saya berdebar. Kali pertama memasuki kelas, bertambah debaran saya lagi. Kali pertama mengajar, saya menjadi "blur." Saya jadi buntu untuk mengajar sedangkan buku dan silibus sudah berada di tangan.

Untuk seminggu pertama mengajar, saya tertekan. Lebih-lebih lagi dengan pelajar nakal. Untuk seminggu pertama juga, saya sentiasa berdebar dan sentiasa terdetik di hati mahu berhenti bekerja dan tekad tidak mahu bekerja lagi. Tidak kira apa jua jenis pekerjaan. Tapi kini, walaupun baru sebulan lebih saya mengajar, saya gembira. Saya rasa mahu menjerit kepada dunia, pekerjaan gurulah paling kurang tekanan walaupun pelbagai kerja harus dilakukan. Itu pendapat saya.

Setiap hari, saya akan berfikir cara terbaik untuk PnP. Doakan saya!

Ya Allah, murahkan rezeki kami dan orang-orang yang ikhlas berjuang di jalanMU.

p/s: Selamat Hari Guru buat teman-temanku yang bekerja sebagai pendidik. Kalian memang seorang yang hebat! :)

Terima kasih cikgu.


Selamat Hari Guru buat semua para guru yang pernah mengajar saya atau pun tidak. Bersyukur dan berterima kasih kerana sudi mendidik saya. :)

Tuesday, May 10, 2011

Kelebihan yang Lebih

Siapa yang tidak suka mempunyai kelebihan diri? Semua orang pasti suka. Kita akan rasa lebih confident dengan kelebihan diri sendiri. Apakah tarifan kelebihan diri sendiri? Jawapan di tangan masing-masing. Mungkin ada yang menyatakan "Saya fasih berbahasa inggeris. Saya rasa sangat yakin dalam peryampaian dan pertuturan." Mungkin juga ada yang menyatakan "Saya rasa saya kurus dan cantik. saya sangat yakin apabila bertemu dengan orang luar."

Takrifan itu berbeda-beda.

Saya?

Bagi saya, sekiranya saya mempunyai ilmu dunia dan akhirat yang mantap, saya sangat yakin untuk bertemu dengan sesiapa sahaja pun. Tetapi, saya belum di tahap itu lagi. Saya masih jauh. Sebagai contoh, apabila kita berada dalam kalangan para ustaz atau ustazah, kita mampu untuk berbincang mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan hukum hakam. Berkaitan dengan perjuangan islam, jemaah islam, dan sebagainya.

Apabila kita berada dalam kalangan orang akademik, kita mampu untuk berbincang mengenai isu-isu sejagat, isu-isu global dan sebagainya.

Bukan sekadar berborak kosong.

Berusahalah untuk menjadi manusia yang lebih baik dari semalam. Tambah ilmu, tambah ilmu, tambah ilmu dan dekati orang yang berilmu.

Monday, May 9, 2011

Kecemerlang Kita Berbeza-beza..

Seperti yang saya tulis di entri sebelum ini, saya bukan kategori pelajar cemerlang. Benar, saya tidak pandai dari darjah 1 hingga darjah 5. Naik darjah 6, saya dapat masuk kelas awal. Alhamdulillah. Mak dan abah risau saya tidak pandai. Sebab saya orang perempuan kerana dikhuatiri mudah ditipu atau lebih tepatnya lurus bendul. Nauzubillah.

Bagaimana saya boleh berubah dari kurang cerdik kepada "sedikit" cerdik?

Seingat saya, saya hanya pandai mata pelajaran tajwid untuk sekolah agama. Selalu mendapat markah tinggi dan boleh hafal satu-persatu hukum tajwid tu. Saya pun tidak tahu dari mana kelebihan itu datang. Sedangkan membaca Al-quran pun masih gagap ketika dari darjah 1 hingga 5. Khatam Al-Quran pun ketika sekolah menengah (tingkatan 1). Allahuakbar.

Segalanya berubah kehendak Allah dan doa mak dan abah saya. Alhamdulillah. Ketika darjah 5, ada seoarng ustazah, Ustazah Baiah yang sangat konsisten mengajar kelas saya. Dari satu subjek ke satu subjek tanpa henti. Yang peliknya kawan-kawan kelas saya hanya mengikut apa yang dikatakan oleh Ustazah Baiah. Semenjak dari hari itu, tiba-tiba saya jadi "pandai". Apabila ustazah bertanya mengenai sirah nabi, saya pasti boleh menjawab. Sampaikan saya mampu menolong kawan-kawan saya yang lain . Oh, lupa. Saya berada di kelas orang-orang yang "cemerlang".

Fikah dan tauhid juga menjadi matapelajaran kegemaran saya. Akhirnya saya ditempatkan di kelas depan untuk darjah 6. Alhamdulillah. Ini cerita sekolah agama. Sekolah kebangsaan lebih kurang sama. Mak lihat kecenderung saya ke sekolah agama. Jadi, mak putuskan saya bersekolah agama disebabkan keputusan sekolah agama (SPRA) yang memuaskan dan dikira cemerlang oleh mak saya.

Akhirnya saya bersekolah agama di Kelantan.

Semoga adik-adik di sekolah rendah terus cemerlang serta menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.


p/s: Semoga Allah merahmati guru-gurukku terutama sekali Ustazah Baiah. Adakah ustazah masih hidup? Wallahu'alam. Ketika ustazah mengajar saya dahulu pun, ustazah sudah berusia.

Puasa Mengawal Nafsu...

“...Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui,” (Al-Baqarah [2] 184).


Puasa membuatkan kita dapat mengawal nafsu. Apa sahaja jenis nafsu. Kadang-kadang saya terfikir secara logik, "betul ke dapat mengawal nafsu?" okay, memang betul. Nafsu makan, nafsu membeli belah dan sebagainya.

Cuma, saya tidak dapat kawal nafsu marah. Lebih-lebih lagi sekarang saya mengajar kelas hujung. Pelajar-pelajarnya terlalu nakal. Saya terjerit-jerit, terlolong-lolong, dan kadang-kadang berair biji mata. Pelajar-pelajar kelas hujung ni hanya nakal selepas rehat. Atau dengan lebih tepat lagi, waktu hampir balik. Secara logiknya lepas makan, mereka sudah makan dan gula atau glukose dah masuk dalam badan, jadilah hyperactive. Sabar sabar. Fasabrun Jamel.

Saya cuba puasa hari Isnin dan Khamis. Tapi malangnya, apabila saya puasa, saya akan cepat marah sebab saya keletihan. Saya hanya mahu mereka duduk diam-diam dan tidak buat bising. Hakikat yang perlu saya terima ialah mereka pelajar yang "biasa-biasa" dan mereka sebenarnya tidak betah untuk duduk diam. Mereka bukan macam pelajar lain yang apabila ada masa lapang, mereka akan duduk membaca buku. Bukan, mereka berbeza....

Jalan penyelesaiannya, saya perlu bagi nota atau latihan yang mana mereka boleh siapkan dan mempunyai cukup masa sampai waktu balik. Jadi, mereka akan membuat kerja dan kalau bising sikit pun hanya sebab bertanya jawapan dengan saya. Apabila bagi soalan, haruslah berbincang dan memberi jawapan. Mereka tidak tahu jawapan dan jikalau saya tidak memberi jawapan, mereka akan mula bermain. Penyelesaiannya, berbincang dan memberi jawapan. Dan akhirnya memberi saguhati kepada mereka. Kelas hujung akan paling banyak bertanya. Saya sukakannya.

Oh, pelajar kelas hujung ni juga sangat istimewa di hati saya. Dalam geram, saya sungguh menyayangi mereka. Tadi saya menjerit-jerit lalu marah mereka sampai terdiam. Saya marah dengan sepenuh hati. Akhirnya saya duduk dan berair mata(belum meleleh lagi). Saya senyap, dan akhirnya kelas pun senyap. Ketua kelas ambil tugas saya dan memarahi kawan-kawannya yang bising. Saya lega dan terus beristigfar dan sambung berzikir.

Apabila loceng berbunyi, mereka tetap tidak bangun seperti selalunya. Saya meminta ketua kelas memberi arahan bangun kepada pelajar-pelajar lain dan mengucapkan selamat pulang. Saya lega. Saya penat sebab musim panas.

Saya terharu apabila pelajar yang nakal datang bersalam dengan saya dan meminta maaf tanpa disuruh. I_I Dalam 2 3 orang membuat perkara yang sama.

Indahnya menjadi seorang guru. Pelajar sekolah rendah tidak pernah memendam perasaan dendam kepada gurunya.

Semoga pelajar-pelajar saya dan seluruh sekolah menjadi anak yang baik. Biar tidak pandai, asalkan perangai soleh. Pandai boleh usaha. Saya dulu pun bukan seorang yang cemerlang di zaman sekolah. Saya juga kategori pelajar yang tak pandai dari darjah 1 hingga darjah 5. Sentiasa di kelas pertengahan. Hujung tidak pernah lagi. Alhamdulillah.

p/s: Puasa bukan alasannya. Itu semua kerana diri sendiri yang tidak pandai mengawal perasaan. :)


Sunday, May 8, 2011

Kualiti...


Kredit to Google


Walaupun sekadar guru ganti, saya sangat menitik berat kerja-kerja yang saya berikan kepada pelajar-pelajar saya. Saya akan pastikan mereka menyalin nota yang diberikan lengkap dan siap. Saya juga seorang guru yang sangat menitik beratkan kualiti dari kuantiti. Kadang-kadang ada guru yang memberi latihan atau nota terlampau banyak sehingga habis waktu, sedangkan pelajar-pelajar sangat lambat untuk menyalin apa yang ditulis oleh guru. Apabila habis waktu, guru lain akan masuk dan bersedia untuk mengajar. Walaubagaimana pun, apabila pelajar masih menyalin nota atau latihan yang diberi, kadang-kadang guru yang baru masuk TERpaksa menunggu beberapa masa.

Ni berkaitan dengan masa. Masa yang diperuntukan sehari hanyalah satu jam atau setengah jam. Itu belum dikira masa yang diambil untuk menyuruh pelajar mengeluarkan buku, dan memberi "tazkirah" harian kepada pelajar.

Manage your time all teachers!

Dia yang Aku Kasihi



Saya pernah bertanya kepada seorang ustaz, apakah hukum menyambut hari ibu? Ustaz tidak dapat memberi jawapan yang tepat. Cuma ustaz simpulkan bahawa hari-hari kita perlu sayang ibu kita, jangan derhakainya, jangan sesekali menyakiti hatinya, dan jangan sesekali membuatkan ibu menangis kerana perangai buruk kita. Astagfirullah.....

Keluhan....
Saya masih tidak mampu menjadi anak yang solehah, yang sentiasa menyenangkan hati mak, dan yang sentiasa membuatkan mak menangis kerana kata-kata saya yang "pedas". Tapi saya sentiasa berdoa tidak mempunyai anak-anak yang perangai macam saya. Jadi, saya juga harus berusaha menjadi anak yang sentiasa menyenangkan hati mak. InsyaAllah. Semoga dimakbulkan doa itu.

kau memberikanku hidup
kau memberikanku kasih sayang
tulusnya cintamu, putihnya kasihmu
takkan pernah terbalaskan

hangat dalam dekapanmu
memberikan aku kedamaian
eratnya pelukmu, nikmatnya belaimu
takkan pernah terlupakan

oh ibu terima kasih
untuk kasih sayang yang tak pernah usai
tulus cintamu takkan mampu
untuk terbalaskan

oh ibu semoga tuhan
memberikan kedamaian dalam hidupmu
putih kasihmu kan abadi
dalam hidupku

ooohh putih kasihmu kan abadi
dalam hidupku

Ungu:Doa Untuk Ibu.


Monday, May 2, 2011

Setiap Yang Berlaku, Ada Hikmah Yang Tersembunyi

Credit to Google

Sudah berbulan-bulan TV di rumah ni rosak. Ada 2 3 kali saya minta dari abah agar membeli TV baru. Bukan tidak boleh baiki, cuma TV di rumah ni dah banyak kali baiki. Dari membazir baiki lagi, lebih baik beli yang baru saja. Itu pendapat saya lah.

Walaubagaimana pun, abah tetap tidak membeli TV baru. Kami sekeluarga pun tak adalah minta meminta lagi. Kadang-kadang bosan juga tak ada TV ni. Tapi, bila memikirkan lagi banyak dosa menonton TV, hati jadi tenang. Apabila ada TV, saya akan menonton drama-drama dan sebagainya. Saya akan tengok Program Realiti Mentor walaupun saya tak berminat dengan nyanyian. TV depan mata, mesti nak switch on je TV tu.

Itu bab drama-drama dan program realiti. Bab Politik? Nonsense! Lebih baik tak ada TV dari ada. Berita yang disampaikan di TV 1, 2, dan 3 sangat menyakitkan hati dan berat sebelah. Setiap hari, ada sahaja berita lucah. Lebih baik saya tidak menonton TV.

Saya pula jenis apabila menonton atau melihat sesuatu yang melanggar peraturan Allah, saya akan berfikir dan boleh menyebabkan tidur tidak lena. Jadi, akan lambat untuk bangun pagi sebab akan bermimpi(apa yang difikirkan) pada malam harinya. Saya juga akan tidur dalam keadaan sakit hati. Kesannya juga ke atas saya. (ayat tunggang-langgang). Saya rasa, kalau cek tekanan darah tika saya menonton sesuatu yang menyakitkan hati, saya boleh dapat high blood pressure! Nauzubillah.

Itulah hikmah yang tersembunyi. Alhamdulillah.

Laptop dan internet tetap ada dan tetap akan mendapat maklumat yang berfaedah dan berkenaan. So, tetap tidak ketinggalan zaman dengan berita-berita semasa.

Alhamdulillah.


Sunday, May 1, 2011

Buku Percuma

Antara buku-buku yang dibeli...



















Ini bukan buku percuma. Buku-buku ini tulisan Ustaz Riduan Mohamad Nor. Isinya yang padat dan tepat. Harga pun berpatutan. Murah!

Buku Ahmad Yassin: RM5.00
Buku Hassan AlBanna: RM5.00
Aku, Isabella dan Tok Kenali: RM16.00 (Discount 10%)




















Ini buku keluaran PTS. Penulisnya Prof. Dr. Kamil Ibrahim (Prof UiTM) dan isterinya Puan Roza Roslan(lecturer UiTM).

Buku Travelog Haji tu saya beli pada tahun 2009 lagi di MPH Alamanda. Buku yang sangat menarik! Sesuai untuk mereka yang takut untuk pergi ke sana dan sesuai untuk anak muda.

Semalam juga saya pergi pelancaran buku 50 Tip Motivasi Haji dan Travelo Impian Abadi.

Buku Travelog Haji :Rm18.00
Buku 50 Tip Motivasi Haji : Dapat secara percuma kerana menghadiri majlis pelancaran. :) Alhamdulillah
Buku Travelog Impian Abadi : RM10.00 (Bagi sesiapa yang hadir majlis pelancaran, buku dijual hanya dengan harga RM10.00 sahaja. Banyak untung maaa) Harga di buku RM19.00


Prof. Kamil dan Pn. Roza sedang sibuk melayan hadirin

Such a lovely pic! I like

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL)

Saya malu untuk menyatakan inilah kali 3 (ingat-ingat lupa) saya ke PBAKL selama saya hidup. Sekarang saya berumur 25 tahun. Betapa saya tidak cakna dengan pembeliaan buku. Astagfirullahaladzim.

Sebenarnya itu hanyalah alasan retorik. Saya bersekolah menengah di Kelantan selama hampir 7 tahun. Saban tahun memang tidak akan berkesempatan untuk "menyerbu" pesta buku ini. Selepas 7 tahun di Kelantan, saya terbang pula ke Sarawak selama hampir 3 tahun. Kira-kira 10 tahun saya diperantauan (cewaaah). Memang la saya tidak berkesempatan! Okay, alasan kukuh! hehe

Sebagai seorang pelajar sebelum ini, saya hanya mampu memperuntukkan RM200 sahaja untuk membeli buku di sana. Alhamdulillah. Walaupun tidak cukup, saya buat-buat cukup. Tapi pada tahun ini, kali ini (dah bekerja, tapi tak dapat gaji lagi), saya hanya mampu habiskan kurang dari RM100 sahaja. Kenapa? Sebab saya datang hari minggu yang mana orang terlampau ramai (sesak-badak bak kata Pn. Ainon PTS). Saya mudah rimas dengan orang ramai. Nak membelek buku pun saya jadi malas. Jadi, saya hanya membeli apa yang saya nampak dan mudah dicapai. *Kesudahannya nanti, saya akan cari buku di Pustaka Mukmin Jalan TAR sahaja*

Antara buku-buku yang dibeli. Ada yang dirancang dan ada juga yang tidak dirancang.

Walaubagaimana pun, saya sangat suka PBAKL ini. Meriah dan gembira kerana banyak orang datang untuk memborong buku. Ada sesuatu perasaan unik di situ. Para bapa atau ibu sanggup membelanjakan duit untuk membeli buku, itu satu perkembangaan yang baik. Alhamdulillah.

Walaupun PBAKL telah berlangsung seminggu yang lalu dan hari ini adalah hari terakhir, suka untuk memberi tip-tip untuk "menyerbu" pesta buku ini pada tahun akan datang.

Antara tip-tipnya:
  • Elakkan datang pada hari minggu. (Dah bekerja, kena juga datang hari minggu. Rempuh sajalah labu)
  • Memakai pakaian yang selesa. (Elakkan memakai kain yang panas)
  • Elakkan membawa anak-anak kecil. (Baby terutamanya, kerana bagi yang membawa stroller akan menyusahkan orang lain serta membebankan diri ibu bapa itu sendiri)
  • Membawa beg sandang atau beg beroda.
  • Membawa telekung bagi perempuan.
  • Membawa air mineral sebagai bekalan.
  • Makan dahulu sebelum pergi. (Sebagai tenaga untuk ditolak)
  • Pastikan kita tahu buku yang akan dibeli itu keluaran syarikat buku yang mana. Ini memudahkan kita untuk terus ke booth tersebut.
Last but not least, jangan kedekut untuk membeli buku. Pesanan ini ditaja oleh para ustaz dan ustazah, guru-guru, dan para yang rajin membaca tidak termasuk SAYA.