Semalam...
Hari Ahad. Aktiviti seperti biasa. Bangun pagi terus menuju ke tandas. Selesai semuanya, teringat pesan murabbi.
"Keluar tandas kaki kanan dahulu"
Terus mengatur langkah. Hampar sejadah, pakai telekung dan terus mengangkat takbir.
Selesai solat dua rakaat. Termenung sendirian. Cuba mengingati perancangan aktiviti hari ini. Kemas bilik, basuh, jemur dan kemas baju. Rutin setiap hujung minggu. Teringat perancangan awal untuk servis kereta. Jumaat lepas ke Tesco berhampiran pejabat untuk makan-makan bersama-sama kawan pejabat. Waktu rehat yang lama membuatkan kami makan secara santai. Sewaktu hendak pulang, tiba-tiba pintu kereta bahagian penumpang tak dapat dibuka. Maknanya kawan kena masuk melalui pintu hadapan. Kami tetap bergelak ketawa. Apa yang mahu hendak di risaukan? Semua ada hikmah tersendiri. Kawan rasa bersalah kerna rosakkan pintu, saya kata tidak mengapa. Jangan risau. Ada rezeki, saya betulkan pintu itu.
Abah ambil bahagian untuk servis kereta saya. Kebetulan adik pulang ke rumah. Saya meminta bantuan adik memasang rak buku di dinding. Setelah siap semuanya, saya mula mengemas bilik. Puas hati. Nampak kemas pada pandangan mata saya. Terus terasa bahagia. Saya baring di atas katil. Rasa sayu menerjah dalam diri. Sedih sekiranya terpaksa berpindah keluar dari rumah ini andai ditakdir bertemu jodoh. Sayang pada setiap inci dalam bilik tidur ini walaupun pada hakikatnya ianya adalah sebuah bilik kecil yang hanya berkeluasan 18' x 10' sahaja.
Hakikatnya....
Saya lupa, entah esok atau lusa saya akan pergi. Tinggalkan semua ini. Tiada apa yang perlu sayang akan dunia dan seisinya. Teringat Usrah lepas, kami tadabbur ayat 46, Surah al Kahfi yang bermaksud;
"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan."
Nh
05092016
Ampang
